Tuesday, May 6, 2008

PENGGANTI NURI JADI TEKA TEKI

Hingga hari ini, pengganti helikopter Nuri masih menjadi tanda tanya kepada sebilangan besar pemerhati ketenteraan bukan sahaja dari negara ini tetapi juga dari negara jiran.

Pembukaan tender antarabangsa oleh MINDEF bagi penggantian helikopter Nuri (Sikorsky 61) telah menarik minat ramai pengeluar terkemuka termasuk Sikorsky dan Agusta. Walaupun syarikat pengeluar helikopter dari Amerika Syarikat dikatakan mempunyai kuasa melobi baik di Malaysia dan juga di White House tapi ramai melihat TUDM mahupun MINDEF tidak akan meneruskan penguasaan Sikorsky kali ini memandangkan sikap Amerika Syarikat yang lebih cenderung bertindak cmpurtangan dalam urusan politik, keselamatan dan pertahanan disebalik urusan pembelian peralatan pertahanan.


Rusia yang ketika ini mendominasi pasaran pertahanan hampir di seluruh negara dunia ketiga juga dilihat kurang diberikan perhatian oleh pihak MINDEF dan TUDM. Rusia bukan sahaja terkenal dengan kemunculan helikopter penyerang KA-50 Kamov "Hoku"m, KA-52 "Alligator" dan Mil Mi-28 "Havoc" tetapi juga bagi versi pengangkut kategori seperti Mi-17 1v (versi Mi-18 digunakan oleh Bomba dalam misi menyelamat helikopter Nuri terhempas di Genting Sempah). Namun atas faktor tertentu, (menurut sumber tertentu) ianya dikatakan telah diketepikan lebih awal - satu kerugian memandangkan helikopter Rusia mempunyai kos penyelenggaraan yang rendah dan boleh beroperasi dalam keadaan melampau berbanding helikopter buatan barat.


Manakala AW-101 (versi lain bagi Merlin EH-101) dikatakan antara calon yang mampu dan layak mengantikan Nuri bagaimanapun kos bagi pembelian sejumlah AW-101 adalah begitu besar. Tidak dapat dinafikan dengan teknologi terkini, AW-101 mampu terbang lebih pantas, jauh dan mampu untuk terbang dengan lebih selamat dengan kelebihan tiga (3) enjin.



Tapi apa yang pasti kebelakangan ini sebahagian besar majalah pertahanan dan pemerhati memperkatakan tentang kehadiran EC-725 Caracal. Selain kewujudan pusat penyelenggaraan helikopter ini di Subang, wakil jualan EC-725 juga seolah olah telah memberikan "hint" dengan komen positif terhadap helikoper ini selaras dengan minat yang ditunjukkan oleh wakil Kerajaan Malaysia.