Sunday, December 27, 2009

Laporan Kehilangan Jet F5-E Ke AS

Malaysia akan menyerahkan laporan kehilangan 2 enjin pesawat tempur, F-5E milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) kepada Washington. Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, laporan kehilangan 2 tahun lalu itu akan diperincikan secara kronologi dan dihantar melalui Duta Malaysia ke Amerika Syarikat (AS), Datuk Seri Dr. Jamaluddin Jarjis.

Bagaimanapun, laporan itu hanya akan diserahkan setelah mendapat nasihat daripada Peguam Negara (Tan Sri Abdul Gani Patail)," katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Baru-baru ini, AS meminta Malaysia menyediakan laporan lengkap kehilangan dua enjin pesawat tempur, F-5E, milik TUDM dua tahun lalu.Difahamkan, permintaan dibuat atas kapasiti AS sebagai negara pengeluar pesawat dan mahu menggunakan laporan itu untuk siasatan kerana membabitkan isu keselamatan. Pada Jun dan November 2007, dua enjin pesawat F-5E yang berpangkalan di Skuadron 12 Scorpion Butterworth, Pulau Pinang dilaporkan hilang ketika proses penyenggaraan rutin.

------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Setelah penulis baca berkali kali, barulah penulis sedar enjin ini "disedar hilang semasa proses penyelenggaraan rutin"...

Adakah ini bermakna proses penyelenggaraan sebelum ini (sepanjang tahun 2008), proses ini tidak dilakukan dengan teliti. Kakitangan yang terlibat hanya mengandaikan enjin tersebut ada dalan simpanan berdasarkan dokumentasi tapi tidak meneliti secara visual?. Hanya setelah menyedari kehilangan enjin barulah laporan tersebut dibuat pada 4 Ogos 2008 di ibu pejabat polis dearah Brickfields.

Samada enjin ini hilang akibat kecurian ataupun adanya pihak lain yang menyeludup keluar secara tidak sah itu sudah menjadi persoalan kedua pada penulis. Namun yang lebih utama, penulis terfikir bagaimana kawalan oleh pihak keselamatan TUDM (provost) dan unit risikan juga gagal mengesan penipuan ini dari peringkat awal. Selain itu penulis juga curiga kehilangan ini disebabkan oleh ketidakjujuran anggota lain lain pangkat kerana modus operandi agak profesional. Bukan memperkecilkan kebolehan anggota lain lain pangkat dalam TUDM tapi mereka ini biasanya tidak berminat dan kurang tertarik dengan imbuhan besar dan pada masa boleh dibongkar pada bila bila masa. Isi kecurian ini sukar untuk bergerak sebagai kes yang kurang publisiti, rasionalnya ia isu sensitif.

Penulis berharap penulis silap dalam hal ini kerana tidak pasti ia memberi impak yang besar dalam hal berkaitan keselamatan negara. Bukan penulis ingin mempertikaikan tugas anggota keselamatan terutamanya dari bidang risikan kerana mereka adalah anggota tentera yang paling cekap dan profesional melebihi unit komando.

Penulis kurang pasti dalam urusan pergerakan keluar aset ATM tidak kira TDM, TLDM ataupun TUDM. Siapa yang ditugaskan mengawasi pergerakan dan destinasi aset begini. Adakah cabang cabang tersebut mempercayai 100% anggota yang terlibat. Penulis juga tidak pasti apakah S.O.P cabang ATM dalam mengawasi pergerakan keluar aset mereka. Namun penulis berharap selepas kejadian ini (sekiranya belum dipraktikkan), setiap dokumentasi aset sensitif yang ingin dibawa ke mana mana perlu diserahkan salinan asal kepada bahagian risikan dan bahagian risikan tentera perlu menempatkan anggota risik secara rahsia bagi mengawasinya.

Kini selepas terjadinya isu begini, penulis bersandar harapan kepada bahagian risikan untuk menyertai dan memantau pergerakan aset milik ATM dan bertindak tegas jika ada unsur unsur yang mencurigakan. Bukannya penulis tidak mempercayai anggota dari unit lain tapi unit risikan lebih sesuai dengan tugas ini kerana mereka - lebih berdisiplin, bertanggungjawab, profesional dan patriotik. Rata rata anggota risik datangnya dari anggota komando.

Mereka sememangnya layak dengan tugas ini cuma ini mungkin akan memberi bebanan tugas baru selain dari tugas risikan yang sedia ada.


Saturday, December 26, 2009

Sempadan : Sampai Bila ?

Sejak timbulnya isu kecurian 2 enjin dan peralatan pesawat F-5E, kini mula kedengaran suara yang mempertikaikan kawalan di sempadan. Malaysia mempunyai sempadan yang luas berjiran dengan Thailand, Singapura dan Sabah serta Serawak bersempadan dengan Indonesia di bahagian Kalimantan. Sememangnya penyeludupan yang berlaku agak sedikit sukar untuk dibanteras secara menyeluruh walaupun bukan mustahil. Tapi dengan kekurangan anggota penguatkuasa, ketidakcekapan selain kurangnya rasa tanggungjawab menyebabkan aktiviti-aktiviti penyeludupan masih belum menunjukkan tanda akan berkurangan. Di Sabah dan Serawak, walaupun berlaku penyeludupan ianya masih diperingkat terkawal kerana kurangnya laluan tikus kerana keadaan hutan tebal dan rondaan berterusan oleh anggota tentera serta unit lain. Negara juga tidak mempunyai masalah penyelupudan yang dikira serius ditambak Johor ekoran pemeriksaan yang ketat yang dilakukan di kedua-dua belah tambak. Namun begitu, perkara sebaliknya berlaku dengan serius mungkin boleh dianggap kritikal di sebelah utara, sempadan Malaysia-Thailand.

Dari Perlis hingga ke Kelantan, difahamkan begitu banyak laluan tikus yang tersedia untuk kegunaan penyeludup. Hampir semua bentuk barangan dibawa masuk melalui sempadan sebelah sini dari haiwan ternakan hinggalah kepada penyeludupan manusia untuk diperdagangkan atau pelarian ekonomi dari pelbagai negara. Tugas pengkuatkuasaan disini menjadi tanda tanya. Penulis juga hairan kenapa penguatkuasaan di sini lemah?

Sebagai nota, sempadan di utara merupakan antara yang mempunyai anggota paling ramai dikerah untuk berkawal, dari unit pencegah penyeludupan (UPP) hingga Brigade Kawalan Sempadan Tentera Darat. Penulis difahamkan aktiviti penyeludupan dikawasan yang dikawal oleh anggota tentera dari Brigade Kawalan Sempadan agak sukar dibolosi. Dengan halangan tembok konkrit, pagar berkawat, seksyen infantri yang kerap mengawal, hanya penyeludup yang terdesak dan tegar sahaja akan menggunakan laluan di sini. Sesetengah penyeludup dikira bernasib baik jika ditangkap dan bukannya ditembak. Penulis pernah mendengar cerita penyeludup ditembak pada waktu malam dan dibiarkan terlekat pada pagar berdawai dan hanya keesokkan harinya barulah anggota tentera mengangkat mayat untuk disiasat. Mungkin kerana ketegasan anggota tentera yang bertugas dengan penuh rasa tanggungjawab inilah menyebabkan aktiviti penyeludupan berkurangan.

Tapi berlainan sekali dengan di pintu masuk sempadan Kelantan-Thailand dan Perlis-Thailand. Bukan satu tapi sudah banyak kali penulis mendengar dan diceritakan sendiri bagaimana mereka ini bebas menggunakan laluan rasmi tanpa ditahan, disoal dan diperiksa. Malahan jika bernasib baik mereka mampu melepasi kawalan di pintu masuk dengan hanya mengangkat tangan. Apa yang sebenarnya berlaku? Penulis pernah tertanya tanya kenapa mudahnya mereka ini keluar masuk tanpa diperiksa?.

Bagaimana jika mereka yang menggunakan laluan itu membawa bahan larangan seperti bom?. Mengambil contoh 3 orang militan Thailand yang menetap di Kelantan dan menyimpan bahan letupan.

Adakah kerana penguatkuasa seperti anggota Kastam, Imigresen dan JPJ sudah terlalu dibiarkan bertugas di pintu masuk tanpa ditukar sehingga menyebabkan mereka ini mudah dikawal, dibayar, dijadikan teman sahabat sehingga mereka ini tidak sanggup untuk menahan kenalan? Atau mereka yang bertugas disini merupakan anak jati dan seterusnya mereka mengganggap tidak menjadi satu kesalahan jika tidak menahan saudara atau rakan taulan yang mereka kenali dari kecil. Ataupun juga mereka ini terlalu takut untuk menahan penduduk setempat atau warga Thai yang lebih bersikap bengkeng, gedebe dan samseng ditempat sendiri serta terus membiarkan perkara sebegini berlaku tanpa kawalan yang kuat.

Sehingga bila kita mahu lihat penyeludupan terus berlaku tanpa sekatan. Mereka ini bebas keluar dan masuk tanpa rasa takut. Malahan jika unit Kastam, UPP dan imigresen melakukan tugas dengan rasa jujur dan tanggungjawab, suda pasti sejak dari dulu lagi mereka dapat mengecam kawasan mana dan waktu yang sering berlaku penyeludupan. Malahan pihak berkuasa tempatan juga perlu memainkan peranan yang effisyien, mungkin dengan mengambil langkah yang drastik untuk merobohkan rumah atau gudang yang dibina berhampiran sungai dan yang telah dikenalpasti sebagai pusat penyeludupan.

Kita pasti tidak mahu melihat sesuatu yang buruk berlaku terlebih dahulu sebelum satu satu tindakan di ambil. Lihat sahaj berapa banyak isu besar berkaitan sempadan telah berlaku tapi kawalan masih ditakuk lama. Sebelum ini kita dikejutkan dengan kehilangan kontena cip yang bernilai jutaan ringgit, kemudiannya kita telah menyaksikan bagaimana seorang blogger pengkhianat negara berjaya meloloskan diri melalui sempadan disebelah sini termasuklah juga warga asing yang melarikan anaknya, Feris secara tidak sah. Kini kita dikejutkan dengan kehilangan 2 enjin dan peralatan avionik TUDM.

Sampai bila hal ini akan dibiarkan berterusan. Sejak sekian lama penulis telah memerhati di negara kita semacam ada satu trend. Trend hangat hangat tahi ayam. Semua orang akan kelam kabut dan memastikan penguatkkuasaan akan dilakukan dengan berkesan bila terjadi sesuatu isu dan penguatkuasaan akan bertambah serius bila dilakukan bersama kakitangan media eletronik dan media cetak. Tapi selang beberapa lama keadaan akan kembali seperti asal. Tiada siapa yang ambil peduli dan bertanggungjawab. Semuanya dilakukan asal cukup syarat.

Jika motivasi diri pihak anggota kerajaan menjalankan tugas tidak dipertingkatkan nescaya hal ini tidak akan ada kesudahan, bawalah teknologi dari langit hijau sekalipun namun jika pengendali teknologi ini tidak ada rasa semangat sayangkan negara, teknologi tetap tidak akan berguna untk menghalang kes penyeludupan barangan dan manusia.

Kini negara kita sudah kebanjiran warga asing, bukan sikit warga asing yang masuk ke negara ini secara tidak sah melalui lorong tikus. Itu belum dikira warga asing yang masuk dengan menggunakan VOA (Visa On Arrival), satu kaedah bodoh untuk menguntungkan ekonomi negara tapi membahayakan keselamatan dan pertahanan.

Sekarang sudah sampai masanya, kerajaan dan agensi terbabit perlu melakukan sesuatu untuk menghalang kes kes sebegini dan jika perlu menghadkan masa atau waktu khidmat anggota mereka dari terus menggunakan kelebihan pada diri mereka untuk menyeleweng dan bersekongkol dengan penyeludup. Pasti mereka yang berada di kementerian terdiri dari orang yang lebih bijak dan berkelulusan tinggi untuk memikirkan jalan yang lebih baik dalam menangani masalah sebegini.

Friday, December 25, 2009

AS minta laporan terperinci kes dua enjin F-5E hilang

KUALA LUMPUR: Amerika Syarikat (AS) meminta Malaysia menyediakan laporan lengkap kehilangan dua enjin pesawat tempur, F-5E, milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang dilaporkan dua tahun lalu. Difahamkan, permintaan dibuat atas kapasiti AS sebagai negara pengeluar pesawat dan mahu menggunakan laporan itu untuk siasatan kerana ia membabitkan isu keselamatan.
"Kerajaan AS amat bimbang dengan kehilangan ini. Kita juga akan menemui agensi berkaitan di negara ini untuk membincangkan isu itu," katanya.

AS adalah antara negara pengeluar peralatan ketenteraan, termasuk pesawat tempur di dunia, malah sektor itu antara penyumbang ekonomi terbesar negara itu.(berita selanjutnya)

artikel : akhbar berita harian


-------------------------------------------------------------------------------------------------

Seperti jangkaan penulis, pihak Amerika pasti akan memandang serius kehilangan enjin dan peralatan avionik pesawat F-5E milik TUDM yang dihasilkan oleh syarikat Northrop. Sejak dari awal pemgumuman kes ini di dalam akhbar, penulis amat tidak bersetuju dengan mulut tempayan Menteri Pertahanan yang lebih suka mensensasikan isu ini setiap kali beliau membuka mulut di hadapan wartawan. Menteri Pertahanan kini perlu memastikan kes ini benar benar merupakan kes kecurian dan bukannya penyaluran keluar aset TUDM bagi "meningkatkan perhubungan dua hala" secara tidak rasmi antara Malaysia dan negara menerima enjin tersebut.

Hakikatnya samada dicuri atau tidak, Malaysia khususnya ATM dan khasnya TUDM akan menerima malu besar.

Jika dicuri ini sekaligus bermakna pelbagai cabang di dalam TUDM dan ATM gagal memastikan tahap keselamatan peralatan penting ketenteraan terjamin. Mudah dibolosi oleh sesiapa yang mempunyai rangkaian kenalan di dalam angkatan tentera. Kegagalan oleh semua pihak yang terlibat. Sekaligus memalukan dan menjatuhkan kredibiliti TUDM dan ATM di mata rakyat negara ini serta menjadi bahan ketawa negara jiran.

Sebaliknya jika enjin tersebut dihantar melalui saluran tidak sah, Malaysia akan berdepan dengan tekanan dan sekatan yang tidak kurang sedikit dari Amerika. Ini kerana setiap pembelian dan penjualan aset ketenteraan yang dihasilkan oleh Amerika perlu mendapat kelulusan serta persetujuan dari Amerika dan ianya terlebih dahulu dibawa kepada pengetahuan kongress Amerika sebelum diberi kata putus.

Suka atau tidak, Kementerian Pertahanan perlu menerima hakikat. Dan lebih menjengkelkan kenyataan Menteri Pertahanan - Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi kepada media langsung tidak membantu meredakan isu ini tapi sebaliknya dengan kenyataan yang tidak konsisten, sering berubah menunjukkan beliau sendiri tidak faham dengan situasi yang berlaku serta tidak layak membuka mulut. Kenyataannya lebih mengeruhkan keadaan dan meresahkan. Penulis berpendapat Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi perlu menyerahkan semula beret hijau yang dipakainya kepada Rejimen Komando atas dasar gagal meyimpan rahsia. Pemegang beret hijau mengamal dasar kerahsiaan yang tinggi. Sekiranya Kementerian Pertahanan menjalankan siasatan bersama dengan pihak polis tanpa membuat ulasan kepada media, setidak tidaknya ATM tidak menghadapi terlalu banyak tekanan. Tapi perlu diingatkan tekanan tersebut bukan hanya dirasai oleh ATM tapi juga pada Perdana Menteri selaku bekas Menteri Pertahanan yang berwibawa.

Perbezaan Datuk Seri Najib dan Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi selaku Menteri terbabit jelas ketara. Bekas Menteri Pertahanan amat jarang sekali membuat kenyataan yang tidak membina dalam satu satu kontroversi, tidak seperti polisi yang digunakan oleh Menteri Pertahanan sekarang.

Kini dengan penglibatan dan permintaan dari pihakAmerika, keadaan kelihatan semakin rumit. Banyak perkara yang perlu dibuat untuk menyelesaikan masalah ini. Sekiranya enjin tersebut benar benar tiba di Argentina dan digunakan sebagai alat ganti, kita masih boleh menarik nafas lega tapi jika Argentina hanyalah sebagai pusat transit sebelum enjin tersebut dihantar ke Venezuela atau Iran, ini bermakna kita menempah jalan yang salah dan risiko bakal menanti.

Sebaiknya semua pihak perlu berhenti membuat kenyataan yang tidak menguntungkan. Biarkan pihak polis, provost, risikan dan kementerian luar serta pihak lain yang terbabit jalankan siasatan bagi menghurai kekusutan kemelut luar biasa ini.

Percayakan Anda

Penulis enggan mengesah atau menafikan peristiwa di bawah samada ianya benar benar terjadi namun begitu selain dari cerita yang dibaca, sesetengah daripadanya diceritakan sendiri oleh pihak kedua kepada penulis. Terpulang kepada pembaca untuk menilai.


  • Menurut mendiang M.G Pillai, komando Malaysia pernah menceroboh pangkalan peluru berpandu permukaan ke udara milik Singapura dan meletakkan lambang bendera Malaysia pada sistem pelancar serta di pejabat pegawai memerintah.
  • Sekitar 80'an, sekumpulan tentera Singapura yang cuba memasang radar telah ditangkap oleh anggota tentera pasukan Wataniah yang sedang meronda di sebuah bukit di Johor.
  • Sekitar tahun 80'an juga, banyak berlaku letupan di limbungan kering dan basah di Singapura. Ianya dikatakan berlaku sebagai sabotaj ekonomi. Siapa yang melakukannya? Penulis biarkan kepada pembaca untuk menilai sendiri.
  • Menurut apa yang diceritakan kepada penulis melalui pihak kedua, "black out" yang berlaku di seluruh Semenanjung pada satu masa dahulu dilakukan oleh agen negara jiran sebagai satu langkah sabotaj ekonomi Malaysia. Bagaimanapun pihak berkuasa menafikannya dan memberi alasan salah satu suis besar di janakuasa eletrik di Paka, Terengganu telah terpelatik (menendang).
  • Intrusion oleh negara jiran sentiasa berlaku walaupun mereka dilarang terbang dalam ruang udara negara sebagai langkah keselamatan terhadap orang awam dan pertahanan. Bagaimanapun mereka tetap melakukan pencerobohan dari masa ke semasa. Dalam satu insiden, 2 buah pesawat mereka terbang laju menghala ke Melaka dan sebagai langkah pencegahan 2 buah pesawat MiG-29N telah "scramble" dari Kuantan. Dengan mode "radar off", silent mode dan hanya berpandukan teknologi IRST, 2 buah MiG telah terbang rendah dan menyelinap dari belakang pesawat negar jiran. Kehadiran pesawat MiG ini telah dikesan oleh pesawat AWAC negara jiran yang kemudiannya cuba memaklumkan kepada 2 buah pesawat mereka tapi terlambat kerana pesawat MiG telah pun berada di belakang mengekori pergerakan mereka. Jika dalam situasi sebenar peperangan, pesawat negara jiran sudah dianggap tewas menjadi mamahan peluru berpandu MiG. Pesawat MiG TUDM kemudiannya mengiringi pesawat negara jiran untuk keluar dari ruang udara negara.
  • Selain pencerobohan udara dari selatan tanah air, negara sebelumnya juga pernah diceroboh oleh pesawat negara jiran dari utara. Pesawat F-5E telah dihantar untuk memintas pesawat tersebut tetapi pesawat TUDM bukanlah lawan sebenar kepada pesawat MiG negara jiran. Mereka sering mampu melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pesawat F-5E.
  • Sonic boom yang mengegarkan lembah klang satu masa dulu berlaku akibat pergerakan pesawat juang F-18 Australia pada kelajuan tinggi tapi di aras yang rendah. Gegaran ini bukan hanya mengemparkan penduduk Lembah Klang tetapi juga mendedahkan kelemahan rangkaian radar pertahanan. MINDEF hanya membuat ulasan tentang gegaran itu 2 hari selepas pihak Singapura mendedahkannya kepada media mereka. Peristiwa ini juga telah membuka mata pihak TUDM tentang kelebihan serta keupayaan pesawat ini dan akhirnya pesawat juang F-18 turut dibeli bagi menggantikan pesawat F-5E.
  • Walaupun Filipina tidak mempunyai pesawat juang setanding milik TUDM tapi mereka juga ada melakukan pencerobohan ruang udara dengan menggunakan pesawat Bronco. Juruterbang Hawk TUDM telah ditugaskan memintas dan mengiring pesawat Bronco keluar dari ruang udara Malaysia. Walaupun pada awalnya juruterbang Bronco berkeras tapi setelah beberapa tembakan dilepaskan oleh pesawat Hawk yang mengiringi dari belakang, barulah juruterbang Bronco mengalah dan keluar dari ruang udara Sabah.
  • Percaya atau tidak, TUDM adalah pakar integrasi. System integration. Penulis pernah melihat bagaimana satu peluru berpandu dipasang pada pesawat MiG-29N TUDM sekaligus memeranjatkan penulis betapa kreatifnya TUDM. Jika berlaku pertembungan dengan pesawat musuh, mereka juga pasti akan terkejut dengan kebolehan pesawat MiG membawa peluru tersebut. Jadi tidak hairanlah pada pesawat SU-30MKM pelbagai sistem berjaya diintegrasi untuk menghasilkan pesawat MRCA terbaik mungkin mengalahkan SU-30MKI milik India dalam beberapa aspek.
  • Komando dari Malaysia adalah satu satunya komando dari negara Islam serta bukan dari negara pakatan NATO yang ditugaskan untuk bertindak sebagai QRF (Quick Reaction Force) ketika perang Balkan untuk menyelamatkan mana mana juruterbang yang ditembak jatuh oleh Yugoslavia (pihak Serb).
  • Displin dan kualiti serta pengalaman perang yang dimiliki oleh anggota tentera Malaysia menyebabkan pasukan MALBATT menjadi rebutan antara British dan Amerika. Bagaimana pun Malaysia memilih untuk bertugas bersama British berdasarkan sentimen keserasian hubungan ketenteraan kedua dua buah negara selama ini.
  • Pengalaman dalam Jungle Warfare (Peperangan Hutan dan gerila) yang dimiliki oleh pasukan MALBATT juga menyebabkan pihak Serb bimbang dengan kehadiran MALBATT di Bosnia. Ini menyebabkan seorang pegawai tertinggi Serb telah bertemu komander MALBATT untuk mendapatkan kepastian samada MALBATT akan menyebelahi pasukan BiH (Bosnia). Bagaimanapun komander MALBATT telah menyangkal kebimbangan pegawai Serb dan sebaliknya menyatakan MALBATT hadir atas kapasiti sebagai pengaman. Penulis sendiri tidak percaya pada pengakuan komander MALBATT ekoran pendedahan gambar perbarisan pertama pasukan BiH yang lengkap dengan "Automatic Grenade Launcher" buatan Afrika Selatan kerana beberapa bulan sebelum itu penulis telah melihat sendiri tender perolehan senjata tersebut untuk kegunaan ATM dalam akhbar utama. Tahniah ATM.
  • Pasukan tentera Malaysia sememangnya diakui pakar dalam peperangan hutan sehinggakan diminta oleh pihak Amerika supaya membina satu pusat latihan peperangan hutan di Amerika. Keupayaan ini juga telah mengejutkan pihak tentera di Kemboja bila tentera pengaman Malaysia mampu menembusi kubu kuat pihak bertelagah yang dipasang dengan periuk api tanpa disedari - hanya untuk bertemu pemimpin mereka untuk berunding.
  • Jika berlaku peperangan, kita mampu membedil lebih jauh dari jangkauan Astros. Sejak awal pembelian Astros, penulis telah melihat gambar peluru SS-80 milik RAD walaupun dinafikan oleh seseorang.
  • Sekiranya berlaku serangan Pre-Emptive Strike, dipercayai ianya boleh dilakukan pada kadar 1/2 dari kekuatan sebenar kerana sebahagian telah dimusnahkan terlebih dahulu oleh ATM.
  • Latihan DARSASA (Darat Raksasa) antara pasukan TNI-AD dan ATM ketika Hari Kebangsaan negara jiran telah menyebabkan hampir berlaku ketegangan ke arah berlaku perang.
  • Peristiwa serangan Istana President di Filipina oleh pihak pejuang Moro dikatakan dibantu oleh pasukan Malaysia. Sejauh mana kebenaran tidak dapat dipastikan. Diceritakan Malaysia telah berjaya mendapatkan sesuatu yang berharga ekoran peristiwa serangan tersebut.
  • Malaysia mempunyai rangkaian risikan yang terbaik yang mampu mengetahui sebarang ketegangan atau pergolakan di sesebuah negara. Jika pergolakan lebih hampir di sempadan, ATM akan menterjemahkanya dalam bentuk latihan ketenteraan sebagai persediaan.

Thursday, December 24, 2009

Misteri Kehilangan Enjin dan Peralatan Avionik F-5E












Foto :
Pesawat pemintas F-5E yang diubahsuai kepada versi peninjau lengkap dengan kamera berkuasa tinggi



Syarikat beli enjin pesawat F-5E dikenal pasti

KUALA LUMPUR 22 Dis. - Sebuah syarikat di negara ini dikenal pasti terlibat dalam urusan pembelian dua enjin pesawat F-5E milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang dilaporkan hilang pada 2007.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, syarikat berkenaan bagaimanapun tidak pernah mendapat projek ataupun menyertai tender yang ditawarkan oleh kementeriannya.(berita selanjutnya)



F-5E: Peguam Negara jamin siasatan penuh

NEW DELHI 23 Dis. - Sambil menyifatkan kehilangan dua enjin jet pejuang F-5E sebagai 'perkara serius', Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail hari ini memberi jaminan pejabat beliau akan berusaha habis-habisan bagi menyelesaikan kes itu.

"Ini perkara serius. Setahu saya, ia melibatkan dua enjin dan apa yang lebih teruk lagi ialah kehilangan itu hanya diketahui kira-kira setahun kemudian. Saya mahu siasatan penuh dibuat. Saya berpendapat orang ramai berhak mengetahuinya," kata beliau.(berita selanjutnya)



-------------------------------------------------------------------------------------------------


Ajaib, Mustahil dan penuh dengan misteri. Itu yang dapat disimpulkan tentang apa yang berlaku kepada 2 enjin dan peralatan avionik pesawat pemintas TUDM, F-5E keluaran Northrop.

Yang menjadi ajaib ialah bagaimana enjin itu mampu melepasi kawalan keselamatan ketat pihak TUDM, segala dokumen yang berkaitan juga turut hilang tanpa disedari oleh mana mana pihak termasuk pihak risikan ATM.

Apa yang mustahil ialah kecurian (mengikut laporan akhbar) dilakukan oleh anggota berpangkat rendah. Tanpa penglibatan oleh mana mana pegawai. Satu yang agak mustahil kerana enjin tersebut telah pun dihantar keluar negara, sukar untuk mempercayai anggota berpangkat rendah mempunyai rangkaian kenalan sebegitu luas.

Lebih menjadi misteri, perkara ni berlaku selepas beberapa insiden lain dan mampu melepasi tahap keselamatan ketat. Hanya seminggu selepas pihak Amerika memberi tekanan kepada kerajaan Malaysia kerana membiarkan sebuah syarikat tempatan menjualkan senjata api (small firearms) kepada Sierra Lione, negara yang dikenakan sekatan oleh pihak Amerika, tanpa sebarang petunjuk - pihak akhbar mula mendedahkan isu TUDM kecurian enjin dengan disokong oleh kenyataan Menteri Pertahanan.

Rata-rata akhbar melaporkan kehilangan ini akibat dicuri oleh pihak anggota bawahan tapi perkara ini dilihat sebaliknya oleh ramai pemerhati. Ramai mengandaikan kehilangan ini seolah dirancang secara rapi dengan motif tertentu dan kecurian hanyalah sebagai satu helah menutup cerita sebenar. Ini dikuatkan lagi destinasi enjin tersebut "dijual". Laluan ke Amerika Latin atau Asia Tengah ini sebenarnya telah menyakinkan ramai pemerhati termasuk dari negara jiran bahawa insiden kecurian adalah satu cerita rekaan. Malahan mereka juga agak sukar mempercayai pihak ATM gagal mengawasi aset penting... sesuatu diluar kebiasaan.