Friday, November 30, 2007

Implikasi Gagal Mematuhi Undang Undang


KUALA LUMPUR 29 Nov. – Sebanyak enam lelaki yang menyertai perhimpunan Hindu Right Action Force (Hindraf) di Batu Caves pada Ahad lalu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Selayang dekat sini atas tuduhan menyertai perhimpunan haram dan menunjukkan kekerasan jenayah terhadap polis.

M.Murugan, 36, V. Loganathan, 23, S. Ravi, 33, G. Vinoth Kumar, 31, R. Vajeendran, 27, dan K. Reghu, 39, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Hayatul Akmal Abdul Aziz.

Mereka didakwa dijumpai dalam satu perhimpunan awam yang menyalahi undang-undang di hadapan Kuil Sri Subramaniar, Batu Caves, Gombak dekat sini pada kira-kira pukul 3 pagi, 25 November lalu.

Pertuduhan ke atas mereka dibuat di bawah Seksyen 27(5) Akta Polis 1967 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 27(8) akta yang sama iaitu denda tidak melebihi RM10,000 dan penjara maksimum setahun jika disabitkan kesalahan.

Bagi pertuduhan pilihan, mereka didakwa di bawah Seksyen 143 Kanun Keseksaan atas kesalahan sebagai ahli perhimpunan yang menyalahi undang-undang telah menunjukkan kekerasan jenayah untuk menakutkan pegawai polis yang sedang menjalankan kuasa sah pada waktu di tempat yang sama.

Jika disabitkan kesalahan, mereka boleh dihukum penjara maksimum enam bulan atau denda atau kedua-duanya. Bantahan awal oleh barisan peguam dengan dakwaan bahawa pertuduhan yang dikemukakan terhadap semua tertuduh serta 40 yang didakwa semalam cacat dan tidak lengkap ditolak oleh Hayatul Akmal.

Beliau membebaskan semua tertuduh itu dengan ikat jamin RM500 serta mengarahkan semua melapor diri di balai polis pada Sabtu setiap akhir bulan. Perbicaraan ditetapkan selama tiga hari bermula 28 April tahun depan.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR), N. Gobalakrishnan bagaimanapun ditahan semula atas kesalahan gagal hadir di mahkamah Pulau Pinang berhubung kes menghalang penjawat awam pada tahun 2002. Dia kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut, Pulau Pinang.
_______________________________________

Sebagai Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR), N. Gobalakrishnan sepatutnya sedar implikasi yang telah dilakukan samada mengetuai perhimpunan haram di Batu Caves mahupun ketika menghalang penjawat awam dari melakukan tugas mereka.
Penahanan N. Gobalakrishnan bukanlah satu yang mengejutkan kerana namanya dikatakan telah tersenarai dalam golongan yang dikehendaki polis pada peringkat awal perhimpunan HINDRAF dijangka akan dilakukan di Kuala Lumpur. Samada tertuduh masih sanggup mengenepikan implikasi tersebut atau beliau sudah terlupa beliau berada dalam senarai polis ekoran keghairahan menyertai perhimpunan HINDRAF pada hari Ahad lalu.
Umum mengatakan beliau sengaja memunculkan diri disebabkan faktor ingin menarik perhatian ramai pengikut kaum India terutamanya dari pihak pembangkang untuk menyertai perhimpunan tersebut walaupun ianya tidak mendapat kebenaran dari pihak berkuasa.

No comments: