LANGKAWI 2 Dis. – Tiga penerjun dari 10 Briged Para terbunuh, manakala 11 lagi cedera apabila payung terjun mereka tersasar semasa raptai penuh upacara pembukaan Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2007 di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Supritendan Mohamed Ali Jamaluddin berkata, ketiga-tiga mangsa merupakan antara 20 anggota yang tersasar dari zon pendaratan di lapangan terbang itu dan jatuh di kawasan laut berhampiran akibat tiupan angin kencang.
Katanya, kejadian berlaku kira-kira pukul 10.15 pagi sejurus kesemua anggota dari Kem Terendak, Melaka itu melakukan terjunan dari pesawat pengangkut Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) C130.
“Salah seorang anggota yang maut itu meninggal dunia akibat lemas di laut, manakala dua lagi mati di hospital dipercayai akibat kesejukan melampau atau hypertemia,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Hospital Langkawi di sini, hari ini.
Menurutnya, mereka yang terbunuh ialah Siti Hajar Yakub, 24, yang lemas di laut dan dua lagi ialah Nurul Wahida Yusuf, 20, dan Raymond Anak Duncan, 25.
Katanya, 11 lagi anggota yang tersasar berjaya diselamatkan termasuk beberapa orang yang jatuh di tepi pantai.
Di Kuala Terengganu, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sedih dengan kemalangan yang menimpa anggota pasukan payung terjun itu. Beliau bagaimanapun berharap, kemalangan yang menimpa anggota terlibat tidak akan mengganggu persediaan yang telah dibuat untuk LIMA 2007 yang akan berlangsung mulai esok. “Saya berasa amat sedih di atas kemalangan yang menimpa pasukan penerjun ini yang menyebabkan tiga maut.
“Saya sungguh-sungguh berharap semuanya akan berjalan seperti dirancang walaupun tentu sekali pihak penganjur dan pengurusan LIMA 2007 berasa amat sedih dengan kemalangan yang berlaku,” katanya ketika ditemui selepas menyaksikan pertandingan akhir Kejohanan Kapal Layar Piala Monsun.
Sementara itu Mohamed Ali memberitahu, terjunan oleh anggota terbabit yang dilakukan pada paras lebih 400 meter tersasar ke laut antara Pulau Rebak dan lapangan terbang.
Salah seorang daripada mangsa yang cedera, Suraya Ali, 23, bagaimanapun terpaksa diletakkan di unit rawatan rapi (ICU) kerana hypertemia manakala seorang lagi Zaliza Zakaria, 23, cedera di paru-paru dan dipindahkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Star.
Mohamed Ali memberitahu, ketika kejadian itu angin bertiup begitu kencang berbanding hari biasa sehingga menyebabkan sekumpulan penerjun tersasar dari zon pendaratan. “Latihan itu melibatkan 160 anggota yang melakukan penerjunan dari dua buah pesawat C130 bagaimanapun hanya 138 sempat terjun sebelum kejadian itu berlaku,” katanya. Beliau memberitahu, pasukan penyelamat terdiri daripada Polis Cawangan Marin, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Pasukan Bomba dan Penyelamat dan Agensi Penguat Kuasa Maritim Malaysia (APMM) bergegas melancarkan operasi mencari dan menyelamat sebaik maklumat laporan kecemasan diterima.
Operasi itu katanya, dihentikan pada pukul 12.53 tengah hari selepas kesemua anggota yang melakukan penerjunan dikenal pasti termasuk yang tersasar dari zon pendaratan. Selain tersasar ke laut, terdapat juga anggota yang tersasar di sekitar kawasan lapangan terbang dan tersangkut pada pesawat-pesawat yang dipamerkan pada pameran dwitahunan itu.
-------------------------------------------------------
Ketika sebahagian rakyat Malaysia menyuarakan perasaan tidak puashati tentang kemudahan yang mereka terima selama ini, sebahagian rakyat pula sanggup menggadaikan nyawa demi keamanan dan kemakmuran negara. Mereka ini sanggup memperjudikan nyawa demi kebahagiaan rakyat negara ini.
Jauh sekali mendengar rungutan dari mereka tentang kepayahan hidup sebagai anggota tentera tapi sebaliknya mereka berbangga kerana berpeluang berbakti kepada negara. Itulah sebahagian cebisan hidup yang terpaksa dilalui oleh seorang yang bergelar angota tentera dan sanggup membayar harga yang mahal untuk menabur bakti.
AL-FATIHAH kepada wira dan wiranita negara.
No comments:
Post a Comment