Tuesday, December 18, 2007

Kemantapan Aset Cegah Campurtangan Asing

Kerajaan merancang menambah aset- aset canggih dalam sistem pertahanan negara setanding dengan status negara maju. Timbalan Perdana Menteri berkata, seiring dengan kemajuan negara dari segi ekonomi, maka sistem pertahanan juga perlu mencapai status pembangunan yang sama.
Tiada maknanya Malaysia menjadi negara maju tetapi kemampuan pertahanan masih berada pada tahap negara dunia ketiga. Namun pembelian ini tidak akan sampai ke peringkat ia boleh mencetuskan satu perlumbaan senjata di rantau ini. Pemodenan dan pembelian aset- aset canggih Angkatan Tentera Malaysia (ATM) juga akan dilaksanakan mengikut kemampuan kewangan kerajaan. (Berita lanjut).

_______________________________________

Kerajaan melalui ATM (Angkatan Tentera Malaysia) sepatutnya sudah lama bergerak mengikut landasan dalam pemodenan pasukan bersenjata tetapi ekoran kegawatan krisis ekonomi yang bermula pada tahun 1996 telah menyebabkan ATM terpaksa membatalkan niat sebaliknya menggunakan sumber dan peruntukan terhad dalam memoden dan keningkatkan tahap kesiapsiagaan anggotanya. Mengambil contoh pemodenan Tentera Udara (TUDM), sepatutnya sudah lama dilakukan tetapi dengan krisis tersebut, TUDM (pada ketika itu) masih menggunakan pesawat F-5E selain SkyHawk. Ketidakupayaan pesawat ini menyaksikan sebarang bentuk pencerobohan ruang udara tidak mampu disekat oleh aset sediaada TUDM ketika itu (TUDM pernah menghadapi pencerobohan ruang udara oleh pesawat pejuang Vietnam selain oleh pesawat pejuang Singapura).

Pesawat F-5E sememangnya merupakan pesawat yang berteknologi tinggi ketika negara membelinya dari Amerika Syarikat dan menjadi negara pertama di rantau sebelah sini menggunakan teknologi tinggi dalam angkatan tentera udara. F-5E lebih berperanan sebagai pesawat pejuang/pemintas dan manakala pesawat SkyHawk lebih berkeupayaan menjalankan misi "bantuan rapat" (ground support) kepada anggota infantri dan mekanis. TUDM mengambil masa yang begitu lama untuk menggantikan pesawat milik mereka kepada pesawat yang lebih berupaya. Dan apa yang lebih menarik ketika pertengahan krisis ekonomi, negara telah dikejutkan oleh debuman sonik yang mengeggarkan kawasan Lembah Klang dan sekitar negeri Perak.

Terima kasih di atas tindakan gopoh juruterbang RAAF (Royal Australia AirForce) yang menerbangkan pesawat pejuang F/A-18 Hornet dari Butterworth ke Singapura dengan kelajuan sonik yang telah membuka mata para menteri. Isu ini telah dibawa dan didebat di Parlimen dan menyaksikan sebahagian besar para menteri telah menyuarakan kebimbangan dan kagum kerana kelebihan pesawat ini selain ketidakupayaan TUDM mengesan pergerakannya dan terpaksa mengambil masa beberapa hari menyiasat kes ini sebelum menteri pertahanan membuat sidang akhbar. Pesawat pejuang F/A-18 Hornet Australia yang berpangkalan di Butterworth telah terbang dan mengambil masa selama 14 minit untuk sampai ke Singapura. Ini menyaksikan kerisauan dan rentetan isu ini telah membawa kepada pembukaan tender bagi TUDM untuk mendapatkan pesawat yang lebih superior.

Walaupun setelah krisis ekonomi berakhir, ATM masih lagi diberi peruntukan "sebenar" dalam memodenkan insan dan aset. Pemilikan 8 buah pesawat untuk satu skuadron bagi TUDM dilihat oleh kebanyakan pemerhati sebagai satu skuadron standard untuk negara ketiga kerana sebahagian besar negara maju menggunakan lebih dari 20 pesawat untuk "1 full squadron" atau 1 skuadron lengkap. Namun begitu TUDM dikira masih bernasib baik kerana ia diberi peluang untuk melengkapkan skuadronnya dengan kombinasi pesawat Amerika dan Rusia. Persaingan tawaran harga "runtuh" telah menyaksikan TUDM mengambil kesempatan membeli 8 F/A-18 Hornet dan 18 MiG-29N (termasuk 1 versi MiG-29UB untuk latihan).

Pembelian aset ini sebenarnya digunakan secara berhemah untuk memodenkan TUDM tapi jiran terdekat Singapura melihat ianya satu ancaman dan permulaan kepada perlumbaan senjata dirantau ini. Malaysia walaupun sentiasa menerima kritikan dan ancaman Singapura baik dari ekonomi, kedaulatan dan ketenteraan - negara lebih melihat ancaman Vietnam dan China jauh lebih besar untuk ditangani memandangkan negara turut terlibat dalam tuntutan bertindih Kepulauan Spratly yang turut dituntut oleh Brunei, Filipina, Taiwan.

Lebih memburukkan keadaan ekoran kurangnya pemodenan untuk ATM, Lee Kuan Yew secara terbuka telah "menjemput" kepada mana mana negara untuk menyerang negara mereka setelah Singapura berjaya mendapatkan 200 peluru berpandu jarak jauh udara ke udara AMRAAM 120C pakej bagi pembelian pesawat F-16 C/D dari Amerika. Ini sebenarnya merupakan isyarat Singapura kepada Malaysia yang menyaksikan banyak isu yang membawa kepada ketegangan kedua dua negara sebelumnya termasuk peristiwa LaGabma (Latihan Gabungan Bersama) antara pasukan tentera darat Indonesia-Malaysia yang menurunkan pasukan payung terjun di selatan Johor ketika hari kemerdekaan Singapura. Peristiwa ini menyebabkan acara sambutan kemerdekaan Singapura terganggu kerana mereka terpaksa menggerakkan keseluruhan pasukan simpanan dan tetap dalam keadaan berjaga jaga lantaran bimbang dengan pendaratan pasukan tentera darat Malaysia-Indonesia (jika menyerang Singapura).

Isu ini merupakan salah satu daripada peristiwa yang mencacatkan imej negara akibat kemelut kurangnya inisiatif memodenkan ATM selain peristiwa kematian anggota NS (National Services) Singapura di air terjun hutan lipur, pemasangan radar di sebuah bukit di Johor oleh anggota tentera Singapura, penglibatan risikan oleh Singapura dalam kerajaan Johor selain menempatkan anggota risikannya di sebuah kedai mainan bagi tujuan pengumpulan data, isu bekalan air, tanah KTMB dan CIQ, pangkalan TLDM di Woodland, tuntutan bertindih Pulau Batu Putih dan pengendalian radar maritim di Pulau Pisang selain tindakan jahat anggota tentera Singapura melepaskan tembakan meriam latihan ke sebuah kampung di Johor.

Diakhir pemerintahan perdana menteri Tun Dr. Mahathir, beliau yang sentiasa kagum dengan teknologi ketenteraan telah memberi lampu hijau kepada ATM untuk memoden dan mendapatkan aset canggih sekaligus meletakkan asas pemodenan ATM ke landasan yang sepatutnya. Ini disokong oleh pemulihan ekonomi negara yang telah dilakukan oleh beliau dengan secara aggresif. Ketika negara jiran serantau masih terkial kial mencari formula memulihkan ekonomi dan meredakan pergolakkan dalaman, ATM mengorak langkah membuat pembelian yang membuka mata dan mengejutkan negara sekeliling termasuk Singapura. Pembelian ini menunjukkan ATM telah cenderung untuk melaksanakan gerakan offensive (kelebihan menyerang) dalam perang konvesional (perang terbuka) setelah beberapa dekad mengadaptasi perang gerila bermula zaman insurgensi komunis. TM telah menyenarai beberapa aset penting bagi tujuan memberi lebih kuasa tembakan dan kemusnahan tetapi pada masa yang sama mengurang jumlah keanggotaan namun meningkatkan tahap profesionalisme mereka melalui K-Army (Knowledge Army) melalui perolehan aset berteknologi tinggi di samping memberikan peningkatan taraf pendidikan.

Habuan ini telah menyaksikan Tentera Darat (TDM) memperolehi 48 buah PT-91M MBT (Main Battle Tank) kereta kebal utama buatan Poland yang setanding dengan kereta kebal buatan Amerika atau Rusia (anggaran asal TDM memerlukan sehingga 300 buah), 11 buah helikopter buatan Itali A 109 Augusta LOH (Light Observation Heli) untuk misi sokongan darat kepada gerakan kolum kereta kebal atau pasukan mekanis Adnan, 1 rejimen batteri MLRS (Multi Launcher Rocket System - Sistem Pelancar Roket Berganda) Astros II buatan Brazil yang mampu melancarkan bomblet/bom serakan sejauh 60-70km dengan keupayaan 1 bomblet memiliki radius membunuh sehingga 100 meter (1 roket mempunyai 664 bomblet) dan sebagainya.

Turut menerima habuan ini adalah TLDM dengan memperolehi 2 buah kapal selam kelas Scorpene, sebuah kapal selam terpakai Agosta termasuk pangkalannya di Teluk Sepanggar, Sabah. Bagi unit dan sokongan udara, TLDM turut menerima helikopter SuperLynx 300 untuk ditempatkan di kapal frigat selain pembelian lain.

Manakala TUDM yang telah menyaksikan pembelian pesawat F-18 Hornet dan MiG-29N turut menikmati perolehan pesawat berteknologi tinggi Su-30MKM. Pesawat ini merupakan ancaman terbesar kepada mana mana pesawat pejuang milik jiran terutamanya Singapura. Lebih menggerunkan jiran terdekat - Singapura, keupayaan Su-30MKM ini ialah dengan memiliki peluru berpandu AMRAAMski, peluru berpandu jarak jauh anti AWACS (kapal terbang amaran awal yang bertindak sebagai radar - mata dan telinga kepada pertahanan udara negara tersebut). MiG-29N merupakan pesawat pejuang pemintas yang setanding pesawat F-16 C/D Singapura. Malahan MiG telah menyaksikan kelebihannya dalam memintas pesawat Singapura yang terbang menceroboh masuk ruang udara negara menuju ke Melaka. Dengan teknologi IRST, MiG telah terbang dari Kuantan dan mengekori pesawat Singapura tanpa disedari sehingga pesawat AWACS mereka memaklumkan terdapat pesawat MiG mengikuti pergerakan F-16 dari belakang (Jika dalam senario perang, MiG boleh membunuh lebih awal dengan melancarkan peluru berpandu kepada kedua dua pesawat F-16 Singapura). Pesawat Singapura ini diiring dan diperintahkan keluar dari ruang udara. Malahan MiG juga mampu menceroboh masuk ke ruang udara Singapura tanpa disedari dari awal sehinggalah ianya menonjolkan diri untuk menguji tahap kesiapsiagaan pertahanan udara negara republik itu. MiG yang merupakan pesawat yang boleh dikatakan kurang keupayaannya jika dibandingkan dengan Su-30MKM. Versi MKM yang dimiliki oleh TUDM lebih berdaya dari versi MKI milik India. Kelebihan pesawat ini turut diakui oleh Australia yang menyatakan rasa terancam. Su-30MKM ini bukan sahaja mampu menewaskan pesawat "super agility" Singapura tetapi juga mampu terbang sehala sehingga ke utara negara Australia dengan tanpa bantuan pesawat tangki TUDM.

Ternyata pemodenan yang dibuat oleh ATM bukan sahaja akan memantapkan keselamatan negara tetapi juga sebagai jaminan untuk menghindarkan sebarang bentuk ancaman yang boleh menganggu gugat pertahanan, ekonomi serta kemakmuran. Walaupun pemodenan sedikit tersasar dari tarikhnya tetapi ianya masih belum terlewat. Dengan usaha berganda, NADI (industri pertahanan nasional) mampu menonjolkan diri sebagai saingan terdekat kepada ST Kinetic Singapura sebagai pengeluar alat persenjataan yang disegani. Jika negara tidak memulakan usaha pemodenan pasti kita akan terus ketinggalan. Negara jiran akan sentiasa menuduh negara memulakan perlumbaan senjata untuk menghalalkan tindakan pembelian sistem persenjataan negara mereka walau kita membeli pisau dalam kuantiti yang banyak sekalipun.

No comments: