Tuesday, December 1, 2009

LIMA 2009 : Harapan














LIMA (Langkawi International Maritime & Aerospace) edisi 2009 kini telah bermula.

Perasmian pembukaan LIMA 2009 turut disertai oleh Tun Dr Mahathir Mohamad selaku pengasas LIMA pada 1991 (tahun yang sama dengan penubuhan Pasukan Atur Cepat (PAC/PARA). Walaupun seluruh dunia mengalami kemelesetan ekonomi dan keadaan pasaran dunia yang tidak menentu termasuk di rantau sebelah sini tapi ianya tidak menyekat kedatangan pempamer ekoran jumlah yang menyertai LIMA kali ini boleh dianggap amat menggalakkan iaitu dengan 325 pempamer daripada 25 buah negara dengan pecahan sebanyak 37% pempamer dari syarikat tempatan manakala bakinya sebanyak 63% adalah dari syarikat antarabangsa.

Walaupun keadaan ekonomi yang sentiasa mengalami pasang surut, ianya kelihatan kurang dipedulikan oleh para pempamer khususnya pempamer dari syarikat antarabangsa di mana situasi ini boleh dirumuskan akibat dari dua (2) perkara iaitu keadaan keselamatan dan kestabilan diseluruh dunia yang kurang memuaskan dan trend pembelian dan kualiti semasa peralatan ketenteraan ATM.

Apa yang dimaksudkan dengan keselamatan dan kestabilan yang kurang memuaskan adalah dengan ancaman dari pihak pengganas (pengganas dari kacamata pihak Barat) dan pelampau agama, isu keselamatan tidak boleh dianggap remeh sebaliknya perlu diperkuat dan dibangunkan setiap masa. Ancaman yang diterima samada langsung ataupun tidak perlu dianalisa dan dianggap sebagai ugutan serius dan dengan itu membawa makna mana mana negara memerlukan peralatan ketenteraan yang lebih canggih dan efisyen untuk menangani sebarang bentuk tindakan keganasan. Walaupun dalam keadaan ekonomi yang sukar, sesebuah negara pasti tidak akan sama sekali menggadaikan kestabilan yang dikecapi selama ini termasuklah Malaysia.

Selain itu trend pembelian oleh ATM dan kualiti semasa peralatan pertahanan negara juga menjadi paras penanda kepada jumlah kedatangan pempamer pada kali ini. Selain mencari ruang dalam pasaran negara, pembelian peralatan pertahanan oleh ATM juga bakal menjadi trend pembelian kepada negara jiran serantau. Pemilikan 2 buah kapal selam pertama negara (sebuah telah diterima baru baru ini) menyaksikan bagaimana negara serantau akan cuba melonjakkan kuasa ketenteraan bagi mengatasi perolehan aset negara. Tidak dapat tidak negara jiran pasti akan mencari dan menilai aset lain yang dilihat mampu digunakan untuk mencegah rintang melalui pameran kali ini. Begitu juga bila adanya kenyataan dari Menteri Pertahanan beberapa bulan lalu yang memperkatakan tentang nasib MiG-29. Kualiti peralatan pertahanan negara sebegini lah yang akan menjadi penanda aras kedatangan pempamer dan pelobi bagi mencari, menjual dan membekal sesuatu peralatan. Tambah merancakkan pameran bila Menteri Pertahanan telah mengeluarkan kenyataan yang lebih terperinci bila menyebut "ATM berminat mendapatkan pesawat pejuang MRCA baru dari beberapa negara tertentu".

Di samping itu, keadaan dan kualiti semasa juga menjadi sandaran kepada pempamer mengambil contoh insiden kebakaran Inderaputra yang mana sekaligus mencacatkan tahap mobilisasi TLDM secara khusus dan TDM secara amnya. Laporan akhbar yang menyebut keinginan ATM untuk mendapatkan sebanyak 3 buah MSS (Multipurpose Support Ship) juga turut telah menyaksikan kedatangan kapal pengangkut pelbagai guna milik Korea Selatan, DOKDO selain menarik minat beberapa negara pengeluar yang lain seperti Perancis dan lain lain.

Namun apa yang penting, walau sebesar mana sekalipun penyertaaan kali ini, perolehan tetap dilakukan demi kelangsungan dan kestabilan serta keselamatan negara dengan mendapatkan aset terbaik disamping corak pembelian yang telus sekaligus melenyapkan tomahan beberapa pihak yang senantiasa mencari kesalahan pihak lain bagi dijadikan modal politik jahat.

No comments: